Thursday, May 20, 2010

Gadis Terlanjur Mencintai Mat Ganja Sepenuh Hati

SAYA berusia awal 20-an dan ada seorang kekasih seusia saya. Kami saling menyayangi tapi masalahnya hubungan kami mendapat tentangan keluarga.

Kekasih saya tiada kerja tetap manakala saya bekerja. Kata keluarga saya, mereka tidak mahu hidup saya susah kerana berkawan dengan orang yang tiada kerja tetap.
Kekasih saya juga pernah mengambil ganja satu ketika dulu. Kata keluarga dan kawan saya, orang macam ini tidak akan berubah (perangai). Saya rasa bersalah sangat sedangkan kekasih saya bermati-matian kata dia sudah berubah.
Kekasih saya seorang yang mengambil berat dan bertanggungjawab. Saya bahagia bersama dia. Kami juga pernah terlanjur.
Kami ingin berkahwin tapi keluarga saya menghalang. Adakah saya patut memutuskan hubungan ini demi keluarga tercinta?

KYARA

Jawapan
Kebetulan, Dang Setia baru mendengar satu ceramah agama yang kandungannya ada berkaitan dengan masalah yang saudari timbulkan.
Jadi, tak salah rasanya jika Dang Setia meminjam hujah dan penjelasan penceramah itu dalam menghuraikan kekeliruan dan dilema saudari.
Ini kerana, hujah penceramah berkenaan mudah dan ringkas tapi padat dan tepat. Katanya, jika kita faham dan mengikut garis panduan ditetapkan Allah SWT, banyak kekeliruan dan rasa serba salah yang sering mendatangi hidup kita mampu diselesaikan dengan mudah.
Dalam kes saudari contohnya, seharusnya tidak perlu wujud rasa serba salah kerana antara ibu bapa dan kekasih, dalam Islam, Allah SWT menetapkan dengan jelas bahawa ibu bapa wajib menjadi keutamaan.
Alasannya juga jelas. Syurga di bawah telapak kaki ibu dan restu Allah SWT terhadap seorang anak tertakluk kepada restu ibu bapanya. Maksudnya, jika kita melawan cakap ibu bapa, Allah SWT akan murka kepada kita.
Jika ibu bapa tidak memberi restunya dalam apa saja tindakan kita, termasuk dalam soal memilih pasangan hidup, Allah SWT juga tidak akan memberi restu-Nya kepada kita.
Justeru, yakinlah kepada peraturan Allah SWT. Dia yang mencipta kita dan setiap peraturan ciptaan-Nya pula adalah untuk kebaikan kita.
Tak perlu kita musykil atau teragak-agak untuk mengikut hukum Allah. Jika kita ikut, pasti kita tak rugi tapi jika kita ingkar, besar kemungkinan kita mendapat susah.
Bukan sukar untuk mencari rasional mengenai kewajipan mentaati ibu bapa berbanding kekasih. Ibu bapa mana yang mahu anaknya hidup susah.
Dalam kes saudari, Dang Setia percaya mana-mana ibu bapa pun keberatan mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang pernah terbabit dengan gejala dadah dan tiada pekerjaan tetap.
Jadi, jangan terlalu mudah menyalahkan ibu bapa saudari. Jika kekasih benar-benar mahu mengahwini saudari, dia terlebih dulu perlu membuktikan dan meyakinkan ibu bapa saudari yang dia benar-benar layak atau berwibawa untuk menjadi suami yang bertanggungjawab.
Dang Setia juga lebih memihak kepada ibu bapa saudari dan ada alasan kukuh untuk berbuat demikian. Jika kekasih saudari lelaki yang benar-benar baik, dia tidak akan meniduri saudari kerana lelaki yang baik menghormati teman wanitanya serta tidak akan melanggar perintah Allah SWT.
Akhir sekali sedarilah, ibu bapa saudari mengenali, menyayangi dan menjaga saudari sepanjang hidup saudari iaitu 20 tahun lamanya, sedangkan kekasih saudari baru mengenali saudari untuk tempoh beberapa tahun.
Takkan kita nak mengetepikan orang yang menjaga dan membesarkan kita sejak 20 tahun lalu dan memilih orang yang baru beberapa tahun kita kenal. Mudahkan?

credits to: Br.Saiful Maamor

No comments:

Post a Comment