Saturday, March 27, 2010

Al-Ghazali seperti Limpahan Air

Walaupun Ibn Rushd menyentuh empat mazhab kalam dalam tulisannya, saya hanya menumpukan kepada kritikannya terhadap aliran al-Asya'irah yang dibawa oleh Imam al-Juwaini dan al-Ghazali.

Seperti yang dinyatakan dalam kitabnya, secara tidak langsung Ibn Rushd menolak pandangan Muktazilah, walaupun karya tokoh dari kumpulan tersebut tidak sampai ke Andalusia. Ini kerana metodologi Asya'irah dan Muktazilah hampir sama antara satu sama lain.
Secara ringkasnya, metodologi penting mazhab Asya'irah berhubung penjelasan mereka tentang 'kebaharuan alam' dengan membina kaedah perkara itu melalui "penyusunan jisim-jisim dari juzuk-juzuk yang tidak boleh dipisah-pisahkan" (tarkib al-Ajsam min ajzak la tatajazzak) atau dikenali sebagai al-Jauhar al-Fardi.
Ibn Rushd menyatakan kaedah tersebut tidak rasional sehingga sukar orang awam atau ahli falsafah (ulama) untuk memahami pemikiran mereka.
Ibn Rushd juga turut mengkritik fahaman "membandingkan jisim di langit dengan jisim di bumi" yang selalu digunakan kumpulan tersebut. Katanya untuk menghukum sesuatu fenomena yang baharu mestilah dengan sesuatu yang dirasai dengan panca indera.Jika tidak, maka haruslah meneliti pergerakan fenomena di langit kerana ia mempunyai hubungan langsung di bumi.
"[...]Jika kita lihat penghujahan mereka tentang kebaharuan semua fenomena (al-A'radh) dengan melakukan kiasan di alam nyata dengan tidak nyata, merupakan satu dalil retorik.
"Kecuali perpindahan itu adalah rasional dengan sendirinya. Hal ini terjadi ketika kita meyakini adanya persamaan tabii pada antara alam nyata dan alam ghaib," kata Ibn Rushd
Bagi mengenalpasti tujuan mengetahui hakikat kewujudan Allah SWT melalui hakikat penciptaan bagi menolak al-Asya'irah, Ibn Rushd telah mengemukakan dua bentuk dalil dalam Al-Quran iaitu dalil pemeliharaan ('inayah) dan dalil inovasi (ikhtira').
Dalil pemeliharaan merupakan satu dalil pemeliharaan manusia dan makhluk ciptaan untuk kepentingan manusia. Ia terbentuk atas dua premis, iaitu semua benda yang wujud menepati (muwafaqah) dengan eksistensi manusia.Kedua, ketepatan itu satu keperluan dari sudut pelaku yang berkehendak. Ini kerana tidak mungkin ketepatan itu terjadi secara kebetulan.
Manakala dalil inovasi pula terbentuk atas dua premis iaitu setiap benda atau perkara adalah satu penciptaan. Dan kedua, setiap penciptaan mempunyai penciptanya.
"Dengan ini wajib ke atas sesiapa yang mahu untuk mengenali Allah supaya mengetahui substansi akan sesuatu (jawahir al-ashya') yang menepati hakikat inovasi pada setiap benda atau perkara yang wujud.
"Ini kerana sekiranya tidak memahami hakikat sesuatu, maka seseorang itu tidak mengetahui hakikat penciptaan. Ini telah diisyaratkan oleh Allah melalui firmannya:
"Patutkah mereka (membutakan mata) tidak mahu memperhatikan alam langit dan bumi dan segala yang dicipta oleh Allah" - Al-A'raaf: 185
Dalam kitab ini juga Ibn Rushd juga menyebut nama Imam al-Juwaini beberapa kali. Pemikir Islam kontemporari Mohamad Abid Al-Jabiri menjelaskan, tujuannya kerana al-Juwaini - yang juga guru kepada al-Ghazali - menyifatkan dirinya sebagai "subjek awal" yang cuba menyelesaikan masalah akidah yang dimaksudkan dalam metodologi kalam Asya'ari.
Kemudian datang al-Ghazali menyempurnakan projek itu - seperti ungkapan Ibn Rushd dalam kitab ini: "Fatom al-Wadi 'ala al-Qura" (limpahan air dari lembah yang menenggelamkan segenap kampung).Ini kerana beliau mengisytiharkan dan mentakwil falsafah dan pandangan ahli falsafah secara keseluruhan kepada umum mengikut apa yang difahaminya.
Hal ini terdapat dalam beberapa karya al-Ghazali antaranya Maqasid al-Falasifah yang menolak pandangan ahli falsafah sebelum itu, antaranya Ibn Sina dalam Tahafut al-Falasifah yang mengkafirkan golongan tersebut dengan hujah-hujah yang mengelirukan sehingga merancukan pemikiran umum tentang falsafah dan syariah.
"Maka disebabkan kecelaruan bercampur baur menyebabkan masyarakat umum terpecah kepada dua kumpulan, iaitu yang mengharuskan celaan kepada falsafah dan ahli falsafah dan kumpulan yang mengharuskan takwil dan berpaling daripada falsafah," kata Ibn Rushd dalam kitabnya itu.

credits to: Br.Saiful Maamor

No comments:

Post a Comment